Thursday, May 31, 2012

SEREMBAN

Assalamualaikum wrbt.

Entah dari mana ambil gambar ni. Terima kasih pada yang sudi.
Hujan emas di negeri orang,
hujan batu di negeri sendiri.

Aicheh!

Wa lahir di Seremban. Hospital Besar Seremban. Sekarang orang dah tak panggil Hospital Besar Seremban, orang panggil Hospital Tuanku Jaafar Seremban, atau singkatannya HTJS. Maka jangan salahkan wa bila wa terpinga-pinga bila orang sebut pasal HTJS. Jangan kata wa derhaka kepada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bila wa terlupa nama baru Hospital Besar Seremban.

Sebenarnya banyak lagi nama-nama tempat dan bangunan yang dah bertukar, serentak dengan peredaran bumi, bintang dan bulan mengelilingi mentari. Ewah tak jadi nak serius.

Wa mula mengenali Seremban seawal tahun 90-an. Pada masa itu Seremban bukanlah seperti Seremban yang sekarang. Seremban pada waktu itu cuma pekan kecil. Masih ada beca, masih ada gerai cendol di merata-rata sehinggakan apabila terfikir hal-hal cendol sahaja terus muncul satu gerai cendol berbasikal. Lagaknya seperti berada di surga cendol. Sekarang tidak seperti itu. Di bandar ada satu restoran cendol yang memonopoli pasaran cendol iaitu Cendol Haji Shariff. Boleh tahan sedap. Dulu masa Haji Shariff belum naik haji wa selalu makan dekat gerai basikal dia bersama kazen-kazen wa. Dulu dia selalu meniaga depan Pasar Besar Seremban. Panjang cerita dia kan. Otai.

Pada masa itu di Seremban tidak banyak arkitektur yang menjadi tumpuan. Sekarang juga sebenarnya masih begitu. Masih juga arkitektur yang sama menjadi tempat bergelandangan. Cuma namanya sahaja telah ditukar. Mungkin itu juga satu petanda kemajuan dan perkembangan ekonomi di Seremban. Simptom kepada peralihan kuasa dan wang. Perubahan pemerintah serta minat pelabur-pelabur kepada Seremban yang semakin meningkat populasinya sehingga kini.

Tetapi, bangunan-bangunan lama masih dijaga rapi. Masih ada lagi rumah kedai dua tingkat yang berderet panjang. 100 meter, 200 meter. Klasik.

Wa simpulkan perubahan itu perlahan dan menyeluruh. Wa senang dengan perubahan seperti itu. Tidak terlalu drastik, juga tidak terlalu perlahan. Sepertinya sedang berjalan di satu titi yang di bawahnya mengalir satu anak sungai yang cetek. Amboi amboi amboi.

Seremban satu bandar yang tenang.

Di Seremban ada taman bunga yang luas dan aman. Selalu redup disebabkan banyak pokok-pokok besar dan berdaun tebal. Sebelah taman bunga itu ada Restoran A&W. Berhadapan dengan restoran itu ada bangunan tertulis Parkson Grand. Hari-hari ada jualan hebat. Hari-hari ada diskaun. Tidak jauh dari situ pula ada sebuah sekolah bernama KGV. Sekolah yang membuat wa sedar wa bangang matematik tambahan dan kimia secara bersurat. Tempat-tempat yang wa sebut ni cuma dalam lingkungan 10 minit dari rumah ibu-bapa wa. Kalau ada yang tersinggah, boleh beritahu wa. Kalau wa berkesempatan bolehlah wa teman.

Antara fenomena-fenomena yang baru di Seremban, 4-5 tahun lepas adalah kemunculan Jaya Jusco yang kini dengarnya dah bertukar nama kepada Aeon. Suka hati lah nak letak nama apa pun. Janji halal. Eh.

Kebangkitan komplek membeli belah dan arkitektur lain di negeri kita jangan kita pandang ringan. Dalam tak sedar ia mempengaruhi cara kita membesar atau cara anak-anak kita membesar.  Sebagai contoh, di Seremban ada satu taman kecil dipanggil Dataran Seremban. Tengok apa berlaku bila pada malam ia diserikan dengan lampu-lampu neon yang cantik serta ditanam rumput yang empuk. Kalau pada hari biasa juga ada yang berkeliaran di Dataran Seremban. Tengah hari panas terik pun ada yang berdua-duaan di situ. Sah-sah warga asing. Apo kono eh jang?

Bersepah entah dari mana datangya manusia berkumpul di situ. Selalunya mula dari malamnya Jumaat sehingga malamnya Sabtu. Meriah. Sambil bercerita, sambil menyaksikan lumba kereta.

Lumba kereta haram di Seremban biasanya berlangsung pada malam Sabtu. Sekali lumba ada dalam 15-20 buah kereta, dengan viva standard tak ada bikin pun join lumba. Saja seronok-seronok kata mereka. Cuma yang wa pelik sampai sekarang, bila lampu merah, mereka berhenti menghormati hak lampu hijau orang lain. Tak sangka dalam lumba haram juga mengamalkan etika sebegitu. Tak tahu nak tabik atau mencebik. Selalunya wa lepak bersidai depan CIMB di bandar bila dah tahu nak buat apa melepak di Seremban. Tengok lumba kereta pun ok juga. Sambil berharap ada eksiden kecil depan mata.

Lokasi Seremban juga strategik. Kalau nak ke pantai tidak jauh cuma 30 minit ke Port Dickson. Kalau nak menghirup udara hutan dan merasa air gunung, 20 minit ke Ulu Bendul. Bila nak rasa ikan bakar bolehlah 1 jam ke Melaka. Nak mengambil iktibar dunia akhir zaman bolehlah 1 jam ke Kuala Lumpur. Mudah.

Sekarang wa tak banyak luangkan masa di Seremban. Cuma pada Sabtu dan Ahad bila wa cuti hujung minggu. Itupun biasanya siang dihabiskan bersama keluarga di rumah. Pada malamnya ke kedai-kedai makan di seluruh Seremban. Kadangkala di Taipan Senawang, kadangkala di Temiang Corner di susur jalan  menuju ke Mantin. Kadangkala di Salmah Beevi 23 jam berhampiran Maktab Perguruan Raja Melewar, kadangkala di Roy Siang Malam 2. Lama tak lepak di Roy. Mungkin kerana gadis-gadis dah tak selera dengan air tangan Roy maka populasi pengunjung lelaki juga berkurang. Wa juga termasuk dalam statistik tersebut.

Kalau nak bercerita tentang Seremban mengikut pengalaman wa memang panjang. Sepanjang 20 tahun pun tak habis selidik. Mungkin satu hari nanti kita dapat berjumpa di mana-mana kedai, bercerita tentang Seremban sehingga hampir-hampir subuh baru balik.

Sekian, salam alaykum.

There are places I'll remember
All my life though some have changed
Some forever not for better
Some have gone and some remain
All these places had their moments
With lovers and friends I still can recall
Some are dead and some are living
In my life I've loved them all
-The Beatles, In My Life



2 comments:

Anonymous said...

"Sekali lumba ada dalam 15-20 buah kereta, dengan viva standard tak ada bikin pun join lumba. Saja seronok-seronok kata mereka."...

kau lah owner viva tu kan...hehe

Anonymous said...

bukan laa. orang lain. serius!