Monday, November 14, 2011

Surat untuk Bei Jing

Ke hadapan Bei Jing.

Jika kamu sedang membaca surat ini, maka aku sudahpun selamat sampai di bumiku yang tercinta Malaysia. Sudah mula bekerja dan menghadap komputer dari pagi sehingga petang. Aku kini selesa di samping manusia-manusia yang aku kenal. Makan makanan yang dijamin halal. Tidak perlu membawa cawan kertas ke tandas dan tidak perlu teragak-agak mencari arah kiblat. Di sini semuanya tersedia. Hihihi.

Oh iya, di sini tidak sedingin kamu di sana. Kamu tahu? Memakai tiga lapis pakaian di waktu siang boleh dianggap gila. Tapi kehangatan ini sangat menjengkelkan pada satu-satu ketika. Asyik aku teringatkan kamu ketika peluh berjurai di tengah hari. Elok sahaja manusia di tempat kamu bermain bolasepak jam 1 tengah hari ya. Kamu sangat kool-lah Bei Jing!

Bei Jing, di sini dedaunan di pohon-pohon kekal hijau dan mekar sepanjang tahun. Jarang sekali aku dapat melihat daun daun bertukar kekuning-kuningan dan kemerah-merahan seperti di sana. Cemburu aku dengan musim autum kamu. Cantiknya kamu Bei Jing. =(

Aku ingin sekali jika masakan kambing panggang kamu dimasak oleh orang-orang di sini. Pastinya diet harian aku akan berubah. Takut juga aku berbau kambing. Tapi tak mengapalah, jika ditegur, aku juga mahir senyum kambing. lol.

Sebelum terlupa, bagaimana dengan Tian Jin? masih tidak sihatkah dia? aku harap manusia di sana tidak terus mencemarkan ruang udara Tian Jin. Sedih aku mengenangkan nasibnya. Kami juga ada yang jatuh sakit, demam dan batuk-batuk pulang dari sana. Aku sendiri letih dijangkiti batuk. Entah apalah rasanya si Tian Jin yang bertahun lamanya menanggung kesakitan. Kirim salam aku pada dia ya. Katakan aku simpati. Katakan juga aku menjemputnya ke rumah.

Di sini, rekabentuk bangunan minangkabau kekadang memang mirip rekabentuk ukiran cina kamu. Cuma ukiran kamu lebih halus dan warnanya lebih menonjol. Merah. Pandai kamu menghias diri kamu ya Bei Jing. Jika ke sana lagi aku akan menghabiskan waktuku seharian meneroka Kota Larangan dan menghabiskan seharian lagi mendaki Tembok Besar. Sungguh aku kagum dengan kamu Bei Jing. Entah mahu tak kamu datang ke sini dan menghias rumahku sebegitu? Mungkin? Bila? ehehe.

Aku harap kamu tidak terlalu merindui aku sebagaimana aku merindui kamu. Aku tidak mahu berjanji, tapi mungkin satu hari nanti aku akan kembali lagi ke sana. Mahu tak kamu berdating dengan aku di Istana Musim Panas? aku belanja kamu keledek bakar, kamu belanja aku naik feri kayuh. Mahu? =)

Sementara ketiadaan aku di sana, aku mendoakan semoga kamu sihat dan bahagia selalu. Tidak tercemar, aman dan sejahtera. Aku mendoakan musim sejuk yang mendatang ini tidak membawa mudarat kepada kamu.

Maaf tulisanku terlalu pendek untuk kamu tatapi. Lain hari aku akan menulis untuk kamu lagi. Walau beribu surat pun aku sudi. =P

Sekian sahaja dari aku. Semoga kita bertemu lagi ya Bei Jing.

Salam alaykum.

P/S : gambar-gambar bersama kamu sudah aku upload ke facebook. pergi sahaja ke linkS ini ya.


Summer Palace
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150411351334793.373689.582479792&type=1&l=d1dfd2a7d6
Niuji Mosque
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150411334584793.373687.582479792&type=1&l=16ef6c24a1
Tembok Besar
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150411312914793.373682.582479792&type=1&l=c217b6ef8d
Kota Larangan
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150411147999793.373658.582479792&type=1&l=afcaa98467
Depart
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150411647139793.373733.582479792&type=1&l=ca679672f4


Pecah kaca,
Pecah gelas,
Habis baca,
Terus malas balas.

Yang merindui kamu,
Mousey
04-09/11/11




No comments: