Wednesday, December 5, 2012

TAHNIAH!

Assalamualaikum wrbt.

BANGI- Sebuah perlawanan bolasepak telah berlangsung pada 28 November 2012 yang lalu antara pasukan Real Married dan pasukan Bachelorna. Perlawanan bolasepak yang berkonsepkan kelamin menentang bujang itu merupakan acara tahunan kakitangan Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia, di bawah anjuran Kelab Kebajikan Warga Perpustakaan (KKWP).

Perlawanan telah berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia dengan sepak mula pada jam 8.45 malam. Turut hadir merasmikan perlawanan adalah Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Tn. Haji Abu Bakar Maidin yang jelas menunjukkan sokongan kepada pasukan bujang dengan memakai baju merah semasa menonton perlawanan.

Gol pertama Bachelorna dihasilkan oleh Acap Julian Shekler atau nama sebenarnya Ashraf. Gerakan solo Acap dari barisan pertahanan mengejutkan segenap umat Real Married tidak kira di atas, mahupun di luar padang. Aksi cemerlang Acap dikhabarkan telah memikat pengurus pasukan Real Married dan kemungkinan besar akan melakukan perpindahan pada musim hadapan.

Ijal Jawa dari Bahagian Media hampir menambah jaringan apabila menanduk kemas hantaran ke tengah daripada Ijal dari Perpustakaan Undang-undang namun usahanya telah dibatalkan oleh penjaga garisan kerana off-side.

Gol  ke-2 Bachelorna muncul tidak lama selepas itu apabila hantaran bola yang kemas dan tajam dari perancang tengah, Apis Rimau dirembat nipis dan kurang manis oleh Ijal dari Perpustakaan Undang-undang menewaskan penjaga gol Real Married yang baru sembuh dari kecederaan, Encik Afifi.

Perlawanan pada babak separuh masa kedua menyaksikan pasukan Real Married mula bertenang dan merancang strategi dengan baik. Sebanyak 21 serangan dari dalam kotak penalti dilakukan dan 12 shot on target telah dilakukan ke atas Bachelorna. Walaubagaimanapun, kehebatan cemerlang penjaga gol Bachelorna, Zohdi Media telah menggagalkan kesemua 12 cubaan 1 lawan 1 itu, yang melayakkan beliau diangkat menerima Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan.

Mengambil manfaat dari keruntuhan semangat dan kelunturan moral pasukan Real Married, Apis Rimau seumpama menambah garam pada luka yang dalam apabila menjaringkan gol ke-3 pasukan Bachelorna setelah berjaya memperdaya 3 orang pemain pertahanan Real Married termasuklah Faliq Al Habsi, Zakiardo, dan Zukhairi Remos dan penjaga gol Real Married, Abang Leman yang pada mulanya bermain di bahagian wing kiri sebelum dipaksa menggantikan Encik Afifi; terduduk menangkupkan kepala kerana 'placing' yang cantik oleh Apis Rimau ke gawang sebelah kanan pihak lawan.

Ashraf Julian Sheckler sekali lagi menterbeliakkan mata pemain-pemain pasukan Real Married apabila berjaya menewaskan 7 pemain lawan termasuk 2 pemain pasukan sendiri sebelum menjaringkan gol ke-4 Bachelorna dengan bergaya.

Gol tunggal pasukan Real Married telah disumbangkan oleh Zukhairi Remos apabila semua pemain pasukan Bachelorna memberi laluan kepada beliau dan penjaga gol Bachelorna seakan-akan cuba mengacah tetapi sebenarnya memang nak bagi pun. Kesian.

Perlawanan berakhir dengan keputusan muktamad 4 gol berbalas 1. Seperti tahun-tahun sudah, pasukan yang berjaya mempunyai hak untuk mengutuk pasukan yang tidak berjaya sepanjang tahun sehingga perlawanan kali berikutnya, dan pasukan tidak berjaya dibenarkan melawan; tapi kalau kena kutuk sampai berdarah telinga baik duduk diam je la. -takbernama


No comments: