Friday, August 10, 2012

Terima Kasih Tuhan Hari Ini Jumaat 2



Assalamualaikum wrbt.

Oskar memperlahankan kereta apabila hampir sampai di simpang empat Jalan Luke. Suasana di sekitarnya hening.

Teringat semasa dia dan bapanya Kapten Alehaandro melawat Jepun dahulu. Di simpang empat seperti ini di Shibuya, beratus manusia entah dari mana akan menyerbu ke jalanan apabila kesemua empat lampu trafik di setiap simpang bertukar merah. Kemudian ingatannya langsung melayang kepada menara Tokyo, keretapi sesak dan akhirnya kepada Suzuki.

"Di Tokyo, keretapi memang selalu sesak. Setiap hari begini." tegur seorang gadis.

Oskar memakukan pandangan kepada wanita Jepun yang tersepit di dadanya. "Oh, saya sudah berada di Tokyo untuk hari yang kelima, tetapi tiada siapa yang memberitahu perkara ini secara lisan kepada saya." jawab Oskar, cuba untuk menyembunyikan rasa terkejut.

Gadis itu hanya ketawa kecil dan mengemaskan genggaman pada beg yang disandangnya. "Saya telah memerhati awak sejak lima hari yang lalu" sampuk gadis itu.

Oskar berasa seperti privasinya telah diceroboh. Diintip oleh gadis yang cantik seperti itu tidak masuk akal. Seperti perasaan apabila suatu hari bapanya Kapten Alehaandro berkata "tadi bapa pergi berjumpa dengan Cikgu Amanda, dan dia telah menceritakan segala-galanya". Oskar resah.

"Awak tidak ke masjid?" soalan yang sungguh aneh keluar dari mulut seorang gadis Jepun, blouse putih bercorak bunga sakura, skirt panjang merah jambu, berbahasa Melayu.

"Saya hanya solat di bilik" jawab Oskar teragak-agak.

"Solat Jumaat juga di bilik?" tanya gadis itu lagi, seraya melangkah turun dari keretapi, meninggalkan Oskar. Degupan jantung Oskar seperti mengikut rentak gadis itu berjalan. Pantas, seperti dikejar monster dalam permainan PAC-MAN. Dari dalam cermin pintu keretapi yang baru ditutup itu dia sempat membaca sebuah papan tanda elektronik, "SHIBUYA STATION : FRI : 11.20".

Azan Zohor kedengaran berkumandang di radio kereta bapanya.

Sekian.
Salam alaykum.

1 comment:

Kerabat Uganda said...

Omey sangat header tu Aww aww awwwwww!!!!