Friday, December 16, 2011

Lalu Terfelo-felolah Beliau : GANGGUAN

Assalamualaikum wrbt.

Hari ni abg mouse agak zomba pagi-pagi.
Malam tadi abg mouse kena gangguan.

Masa kena ganggu tu abg mouse tengah tidur nyenyak di atas katil yang tilamnya sudah mula melengkung di tengah. Nak kata abg mouse ni gemok sampai menekan tilam sebegitu rupa memanglah fitnah paling besar. Sebab abg mouse ni tak pernah pun berat lebih dari 50 kilogram. Mungkin setelah sekian lama ditiduri, maka tilam pun berperangai sedemikian. Oh marilah kita bersama-sama melupakan keadaan tilam yang daif itu dan meneruskan perbincangan kita tadi.

Semalam masa tengah tidur beralas bantal RM9.90 yang beli dekat plaza PKNS sampul merah tu, abg mouse terdengar satu dentuman, diikuti dengan dendangan lagu POP YEH YEH oleh ruffedge kalau tak silap. Siap ada suara tu hafal lirik rap lagu tersebut.

"Wow"
kata abg mouse seakan-akan berbisik dengan bantal.

"Handal tu hafal rap lagu pop yeh yeh."
sekali lagi abg mouse berbisik dengan bantal macam seorang suami yang tinggal seorang kerana isterinya pergi melancong dengan rakan sepejabat ke Singapura.

Masa tu abg mouse dah kira terbangun-lah. Abg mouse memang dah agak susah nak tido balik punya. Maka abg mouse pun tunggu masa dan bunyi yang sesuai untuk abg mouse baca yasin untuk menghalau gangguan tersebut. Abg mouse pun hampirkan diri ke tingkap.

Habis lagu pop yeh yeh tu, gangguan tu hilang sekejap. Abg mouse sempat tengok jam. Pukul 3.15 pagi.

"Selamat"
kata abg mouse kepada cermin tingkap pula. Umpama lega apabila habis sahaja mengumpat rakan sekerja, rakan sekerja yang diumpat itu lalu menyanyi-nyanyi tanpa menyedari dia diumpat.

Abg mouse pergi ke peti ais untuk melihat sama ada air teh o yang dibuat minggu lepas masih boleh diminum. Ternyata tidak. Maka terpaksa abg mouse menelan air coke yang beli masa sambut besday felo ain malam tadi.

Sedang elok abg mouse teguk, nah, duet lagu ape entah abg mouse tak pernah dengar. Sedap suara mereka berdua. Rasa tak sampai hati nak tegur. Tapi apakan daya, atas dasar tanggungjawab seorang felo menjaga keamanan dan menegakkan kebenaran makanya abg mouse pun keluar.

Dari depan pintu rumah, abg mouse membongkok sikit badan memandang ke bawah lalu memanggil,

"Halo brader"

Tiada jawapan.

"Halo brader, assalamualaikum!"
abg mouse kuatkan sikit suara bagai seorang ayah memanggil anak yang bermain di taman permainan.

--lagu dimatikan, keadaan kembali sunyi.

"Halo, apasal korang senyap?"
tanya abg mouse.

"Halo bro!"
kedengaran satu suara bergema dari tingkat bawah.

"Hah, nak tanya sikit, sekarang pukul tiga pagi ke, pukul tiga petang?"
tanya abg mouse

"sory bro"
jawab suara itu seakan mengerti -lalu kedengaran bunyi pintu ditutup dan dikunci.

Nasib baik dia tidak membalas pertanyaan abg mouse dengan pantun gaharu cendana, dah tahu bertanya. Susah jugak abg mouse nak balas.

Maka dengan berakhirnya gangguan tersebut, abg mouse pun kembali ke katil selepas solat sunat tahajud (aicheh).

Elok je abg mouse setting-setting kepala dekat bantal, abg mouse dengar bunyi muzik yang baru dibuka dan baru dicuba-cuba untuk dikuatkan bunyinya.

"hoi, sekarang tiga pagi ke tiga petang?"
kata satu suara kepada orang yang memasang lagu tersebut agaknya, sayup-sayup dibasahi embun.

"lantak lu orang la nak ulang-ulang ayat gua berapa kali pun, janji lu paham"
kata abg mouse, membenamkan separuh muka ke dalam bantal.

Sekian,
salam alaykum.


No comments: